1. Ceritakan sedikit mengenai biodata anda.
Nama diberi
Vincent Mallang AK Alfred, dikenali sebagai Vinz. Seorang pelajar Politeknik
Kota Kinabalu dalam jurusan Electronic
Engineering (Computer). Saya berusia 20 tahun dan dilahirkan pada tanggal
02/12/1993. Anak kedua daripada lima orang adik beradik, berdarah kacukan
Bidayuh dan Kayan. Saya seorang yang aktif, lasak, peramah, terbuka dan
penyayang. Hobi saya ialah bersenam dan melayari internet. Cintakan makanan
namun sangat perhatin terhadap kesihatan pada diri sendiri dan orang di
sekeliling. Moto hidup saya ialah "Never
give up and always be better than yesterday." Visi hidup ialah
untuk menjadi seorang yang berjaya dalam apa jua keadaan.
2. Apakah pandangan anda mengenai pertandingan ratu cantik berkonsep tradisional?
Pada pandangan saya, pertandingan ratu cantik berkonsepkan tradisional adalah pertandingan yang sangat baik kerana ia adalah satu inisiatif untuk mengekalkan budaya dan adat resam mengikut sesuatu kaum tersebut. Ini disebabkan ramai generasi muda pada era globalisasi semakin melupakan adat resam dan tradisi yang telah diamalkan oleh nenek moyang mereka sejak zaman dahulu. Oleh hal yang sedemikian, banyak kesan yang akan berlaku seperti lupa akan asal usul kaum sendiri, menjejaskan persefahaman antara kaum dan secara tidak langsungnya akan melupuskan budaya dan tradisi yang indah di muka bumi ini. Pertandingan seperti ini harus diadakan bagi membantu generasi pada zaman sekarang untuk terus memelihara dan memulihara adat resam, budaya dan tradisi masing-masing. Di samping itu, ianya juga dapat membantu kerajaan untuk mempromosikan pelbagai keindahan budaya yang terdapat di negara kita ke peringkat antarabangsa.
3. Adakah anda mempunyai pakaian tradisional sendiri? Ceritakan
secara ringkas mengenainya.
Saya sekeluarga
mempunyai pakaian tradisi kaum Orang Ulu untuk wanita di mana pakaian ini akan
digunakan pada pesta keramaian, adat perkahwinan dan jika berlakunya sebarang
aktiviti yang berkaitan dengan adat resam di suatu tempat. Perkara asas
dalam pakaian kaum lelaki Orang Ulu adalah lavung (headgear), sunung (pakaian
dari kulit dan bulu haiwan), takin (gelang lengan), tabin (siting mat), bah (cawat),
heput (sumpit), bukan balat (parang dan sarung parang), kelebit (perisai). Manakala,
untuk pakaian wanita pula ialah lavung (headgear), ta'ah (pakaian), bilang (selempang),
teba'eng (rantai), ajat (tambok manik), kirep (bulu kenyalang yang digunakan
untuk menari), lekuk (gelang tangan). Pakaian Orang Ulu sangat menarik dan unik
kerana dijalinkan gabungan manik yang berwarna-warni.
4. Apakah pertandingan ratu cantik berkonsep tradisional yang
pernah disertai oleh anda?
Setakat ini,
pertandingan ratu cantik (lelaki) berkonsep tradisional yang pernah disertai oleh
saya ialah Borneo Hornbill Festival
sesi 2013. Syukur dan terima kasih saya ucapkan kepada Tuhan, keluarga dan juga
rakan-rakan yang telah menyokong dan memberi sokongan kepada saya kerana tanpa
mereka saya tidak mungkin akan mendapat tempat ketiga untuk Mr. Ethnic Sarawak. Selain itu juga
anugerah Mr. Natural Look dan Mr. Great Body.
5. Selaku penerima anugerah/gelaran, apakah peranan utama yang akan
dilakukan oleh anda?
Peranan selaku
penerima anugerah - Saya akan terus melibatkan diri dalam bidang kebudayaan dan
tradisi kerana ia adalah khazanah yang sangat bernilai. Oleh sebab itu kita
perlu memeliharanya sehingga generasi yang seterusnya. Saya juga akan terus
mempromosi dan memperkenalkan budaya dan etnik yang terdapat di negara kita.
Selain itu, saya juga akan membantu untuk memberi kesedaran kepada generasi
muda di luar bahawa pentingnya menjaga adat, tradisi dan budaya yang telah
diwarisi oleh nenek moyang kita.
6. Apakah yang anda faham tentang 'Unduk Ngadau' dan 'Borneo
Hormbill Festival'?
Pada pandangan
saya, Unduk Ngadau ialah pertandingan ratu cantik berkonsepkan tradisional untuk
suku kaum Kadazan Dusun dan Murut di negeri Sabah yang melambangkan semangat
Huminodun yang telah berkorban untuk rakyatnya manakala Borneo Hornbill Festival pula adalah merupakan satu pertandingan
ratu cantik berkonsepkan tradisional yang disertai oleh pelbagai kaum dan etnik
yang terdapat di tanah Borneo dengan diwakili oleh kaum masing-masing. Selain
itu, pertandingan ini juga mengetengahkan pertandingan tarian etnik yang
menarik mengikut kaum tersendiri.
7. Nyatakan cadangan anda untuk meningkatkan lagi mutu dan kualiti
blog KauluanExpress.
Pada cadangan
saya, cara untuk mempertingkatkan lagi mutu dan kualiti blog KauluanExpress
adalah dengan menambahkan informasi tentang pakaian tradisional Sabah dan
Sarawak. Selain itu, berkongsi maklumat tentang tarian tradisi, makanan, adat
dan budaya sesuatu kaum. Tidak lupa juga bahasa ibunda bagi setiap kaum. Secara
tidak langsung perkara ini dapat membantu orang ramai untuk mengenali setiap
kaum daripada negeri Sabah dan Sarawak serta mampu memperluas budaya dan
tradisi di seluruh negara.Facebook: Vincent Alfred
Photographer: SteviePhotography
Dress: Vincent Alfred (Orang Ulu traditional attire)
Location and year: James Brooke Bistro and Cafe, Waterfront, Kuching, Sarawak, July 2013.
3 comments:
Thank you so much for this interesting profile interview :) appreciate it.. Majukan diri untuk agama, bangsa dan negara
Wow, looking great in every angles! Good job mistah photographer!!
Ni gamba dlm kauluanexpress nye fb eh? Bukan ada byk lagi ke..letak je semua. Hensem. Hiksss!
Post a Comment