Veeky Leonora-Andria, Kumang Iban winner, Borneo Hornbill Festival 2011. She is an active blogger. She has been a consistent writer since winning the coveted title. Already a cultural enthusiast, she wrote in her blog, "The information from my blog is mainly from what I see, I read, I experience, I feel....I believe that the things that I write is true to me and I tried my very best to convey the truth of what I know."
1. Ceritakan sedikit mengenai biodata anda.
Hanyalah manusia biasa yang bernama Veeky-Leonora,
Kawan Stevie Sebol secara tidak sengaja,
Anak Iban merantau di Kuala Lumpur,
Selalu senyum kalau ditegur.
Lahir di Sarawak, membesar di Kuala Lumpur,
Macam Cina, Melayu, macam campur,
Tapi percayalah saya Iban,
Iban 100 per cent tulen bukan campuran.
Cinta Iban cinta budaya,
Itulah dia hobi saya,
“Kumang Saribas” itu blog saya,
Harap semua suka baca.
2. Apakah pandangan anda mengenai pertandingan ratu cantik berkonsep tradisional?
Pada dasarnya setiap pertandingan ratu cantik mempunyai objektif yang mana pemenangnya dipilih dari segi keseluruhan seperti kecantikan, kebijaksanaan, kepetahan bertutur dan kriteria-kriteria lain yang bergantung kepada penganjur tersebut. Maka bagi pertandingan ratu cantik berkonsep tradisional sudah tentu akan menitikberatkan keaslian baju tradisi yang dipakai oleh para peserta. Pun begitu, secantik mana atau selengkap mana pakaian yang dipakai ia tidak akan lengkap sekiranya pemakainya tidak mempunyai ciri-ciri yang mampu menonjolkan lagi kecantikan pakaian tersebut.
Sebagai contoh pertandingan Kumang yang diadakan di Sarawak secara amnya. Kita ketepikan isu soal pilih kasih atau “pilih bulu” dalam pertandingan yang sering menjadi bahan bualan setiap kali pertandingan itu tamat. Sehingga ke hari ini, Kumang adalah dewi (Goddess) yang disanjung tinggi dalam masyarakat Iban kerana beliau pandai menenun, bijaksana, cantik bak kata orang sempurna dari segi aspek. Oleh kerana kesempurnaan beliau, nama Kumang seringkali muncul dalam apa jua karya penulisan Iban. Oleh itu, dalam pertandingan Kumang, selain daripada memakai pakaian yang cantik, asli (authentic), kemas dan betul cara pemakaiannya seseorang pemenang itu harus juga dipilih kecantikan (walaupun subjektif), kebijaksaan menjawab soalan, mempunyai aura pemenang serta faham tujuan sebenar beliau bertanding (sebab ada orang bertanding mau menang saja bah…tak betul tu dahlah tu aksesori dipakai taktau apa nama). Saya pasti begitulah juga konsep pertandingan Unduk Ngadau atau Runduk Tadau yang diadakan di Sabah pada setiap Pesta Tadau Kaamatan.
Pertandingan ratu cantik berkonsepkan tradisional adalah salah satu cara untuk memperkenalkan budaya kita kerana tidak semua orang mempunyai minat dalam muzik tradisional, upacara-upacara pagan yang lama ditinggalkan mahupun hasil-hasil kraftangan tradisional (bohonglah kalau kamu semua kata tak mahu tengok perempuan atau sumandak yang cantik bukan? Nah, tengok perempuan cantik pakai baju tradisional pun boleh kita belajar serba sedikit budaya betul tak?)
Kesimpulannya pertandingan ratu cantik berkonsepkan tradisional adalah wajar untuk diteruskan kerana generasi baru seperti kita mempunyai tanggungjawab untuk menghidupkan tradisi masing-masing iaitu melalui peragaan pakaian tradisional. Melalui pertandingan sebegini juga keunikan satu-satu masyarakat akan mampu ditonjolkan ke pentas dunia kerana ia adalah sebagai medium pembelajaran bagi semua orang lebih-lebih lagi bagi anak-anak muda serta pelancong asing.
3. Adakah anda mempunyai pakaian tradisional sendiri? Ceritakan secara ringkas mengenainya.
Ya, saya mempunyai pakaian tradisional sendiri. Pakaian atau “ngepan” dalam bahasa Iban saya adalah ngepan Saribas yang mana ianya berasal dari suku kaum Iban Saribas (yang didapati di sekitar daerah Betong dan Saratok). Uniknya ngepan ini adalah kerana ia tidak dihiasi dengan “marek empang” atau perhiasan manik yang dipakai atas dada yang sering kita lihat pada pakaian tradisional wanita Iban pada masa sekarang.
Elemen utama ngepan Saribas adalah pemakaian korset yang diperbuat daripada tembaga dan rotan yang dikenali sebagai “rawai”. Secara amnya rawai yang dipakai adalah rawai tinggi yang mana ia menutupi bahagian dada si pemakai. Kaum Iban Saribas juga adalah terkenal dalam penghasilan pua kumbu teknik ikat (tie dye) maka elemen kedua penting adalah “kain kebat” atau kain pendek paras lutut yang diperbuat daripada pua kumbu. Aksesori lain yang melengkapkan ngepan Saribas adalah seperti sugu tinggi (aksesori kepala), lampit pirak (talipinggang perak), tumpa pirak (gelang tangan perak), gelang kaki serta buah pauh.
Ngepan Saribas kepunyaan saya mempunyai nilai sentimental bagi saya kerana ianya pertama kali ditonjolkan dalam pertandingan Kumang semenjak ianya diadakan secara rasmi pada sekitar tahun 1960an. Ngepan Saribas tidak dianggap sebagai pakaian yang lengkap bagi pertandingan Kumang sekiranya dipertandingkan di Sarawak. Namun begitu saya memberanikan diri untuk mengenakan ngepan Saribas pada Borneo Festival 2011 dan ternyata ngepan Saribas telah membawa tuah bagi saya dengan menjuarai gelaran Kumang pada tahun tersebut.
Selain itu, pakaian ini telah dijadikan salah satu persalinan untuk sesi penggambaran pre-wedding saya serta majlis resepsi perkahwinan saya pada April 2012 dan pernah disiarkan di akhbar Borneo Post atas inisiatif kami untuk mengenakan pakaian tradisional dalam majlis perkahwinan.
4. Apakah pertandingan ratu cantik berkonsep tradisional yang pernah disertai oleh anda?
Saya hanya pernah menyertai pertandingan Borneo Hornbill Festival (BHF) anjuran Persatuan Warisan Sarawak Kuala Lumpur pada tahun 2011. Malah itulah satu-satunya pertandingan ratu cantik yang saya pernah sertai, yang pertama dan yang terakhir.
5. Selaku penerima anugerah/gelaran, apakah peranan utama yang akan dilakukan oleh anda?
Siapa tidak suka menang? Menang-menang pun ada tanggungjawabnya dan bukan setakat menyimpan gelaran dan glamour. Sebelum memenangi gelaran tersebut saya sudah merasakan bahawa adalah tanggungjawab saya untuk menonjolkan budaya saya sebaik mungkin.
Boleh dikatakan kemenangan saya agak berkontroversi kerana ngepan saya dikatakan “tidak lengkap” atau bukan standard bagi pertandingan Kumang malah ada yang mengatakan bahawa ngepan Saribas adalah bukan ngepan Iban. Akan tetapi komen-komen sebegitu membuatkan saya lebih bersemangat untuk membuktikan bahawa ngepan Saribas adalah wujud melalui penulisan blog saya iaitu “Kumang Saribas, This is My Story”. Lama-kelamaan lebih ramai yang mengetahui sejarah dan kewujudan ngepan tersebut dan menghargai ngepan Saribas. Oleh kerana lebih ramai lagi yang mengetahui kewujudan ngepan ini maka terdapat kesedaran di kalangan orang-orang Iban terutamanya penggiat pertandingan Kumang cuba mencari aksesori terutamanya rawai tinggi. Yalah daripada terperap di kedai antik cina bagus lagi orang Iban yang beli jadi tak adalah anak-anak muda tak kenal sama rawai tinggi…..
Selain daripada penulisan blog saya juga cuba menggiatkan diri dalam aktiviti yang dianjurkan oleh Persatuan Warisan Sarawak Kuala Lumpur sama ada dengan meluangkan masa untuk menghadiri aktiviti mereka atau menjadi sukarela sekiranya jadual saya mengizinkan. Seperti baru-baru ini saya telah dijemput untuk menjadi salah seorang juri bagi Borneo Hornbill Festival 2013. Pengalaman ini adalah sangat berharga bagi saya bukan kerana pengiktirafan yang diberikan oleh penganjur dalam bidang pertandingan Kumang tetapi saya beruntung kerana dapat melihat dengan mata saya sendiri secara lebih dekat ngepan Iban dari suku-suku lain serta kaum-kaum lain yang terdapat di Sarawak dan juga jirannya Sabah.
Oleh itu bagi saya kemenangan bukanlah untuk gelaran atau glamour semata-mata jauh lebih besar tanggungjawabnya; tanggungjawab untuk menjaga tatasusila dan sikap di kalangan masyarakat kerana anda dilihat sebagai “role model” yang harus mencerminkan contoh yang baik.
6. Apakah yang anda faham tentang 'Unduk Ngadau' dan 'Borneo Hornbill Festival'?
Melalui pengalaman saya melihat sendiri pertandingan Unduk Ngadau yang dianjurkan oleh KDCA pada tahun 2013, apa yang saya faham adalah ianya satu pertandingan yang diadakan pada setiap kali Pesta Tadau Kaamatan. Pertandingan Unduk Ngadau ini adalah untuk memperingati jasa dewi Huminodun anak perempuan kepada Dewa Kinoingan dan Suminondu yang telah mengorbankan dirinya kepada semangat bumi dan sebagai ganti rakyatnya memperolehi padi serta tanaman-tanaman lain sebagai sumber makanan. Atas sebab rasa bersyukur tersebut Pesta Tadau Kaamatan diadakan untuk memperingati jasa Huminodun.
Berbeza pula bagi Borneo Hornbill Festival, ianya lebih mementingkan konsep memperkenalkan budaya masyarakat Sarawak dan Sabah melalui pertandingan ratu cantik serta pertandingan tarian. Dari segi pertandingan ratu cantik, BHF mempunyai konsepnya yang tersendiri yang tidak sama seperti pertandingan Kumang yang diadakan di Sarawak. Sebagai contoh kita lihat secara lebih spesifik bagi pertandingan kategori Iban. Di mana kriterianya adalah berdasarkan keunikan satu-satu pakaian tersebut dan tidak semestinya terhad kepada ngepan “standard” yang kita selalu lihat dalam pertandingan yang lain. Ngepan tersebut hendaklah sahih dan wujud penggunaannya pada masa dahulu. Melalui cara ini BHF telah berjaya menonjolkan beberapa jenis ngepan Iban dari daerah dan suku kaum yang lain malah membuka mata kepada orang-orang lain akan kewujudan pakaian tersebut.
7. Nyatakan cadangan anda untuk meningkatkan lagi mutu dan kualiti blog KauluanExpress.
Just keep up the good work Kauluan Express, just carry on writing good articles and posting beautiful photos of our culture! Agi Idup Agi Ngelaban….oooohhhhhaaaa.
“You can take away a
Sarawak girl out from Sarawak, but never Sarawak out of a Sarawak girl.”
Facebook: Veeky Leonora Andria
Photographer: SteviePhotography
Dress: Veeky Leonora Andria (Iban ethnic traditional attire)
Location and year: Taman Tasik Permaisuri, 2011, Malaysia Tourism Centre, 2012 and Putrajaya 2013.
Album: Cultural Biodiversity
No comments:
Post a Comment